Gotong-royong RIMUP 2009

Mereka bertungkus-lumus berganding tenaga untuk menyiapkan taman RIMUP...

Sunday, July 12, 2009

Pelaksanaan RIMUP perlu dipertingkatkan...

TAKLIMAT PELAKSANAAN RIMUP ZON TIMUR
Pelaksanaan program RIMUP perlu dipertingkatkan

Diterbit pada 24-02-2009 14:37

24 Februari 2009

Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian telah menganjurkan taklimat RIMUP kepada Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 22 – 23 Februari 2009 di Kuala Terengganu. Seramai 110 orang Pengetua dan Guru Besar telah menyertai taklimat kali ini.

Taklimat telah dimulakan dengan pembentangan laporan tinjauan dan penilaian oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada sesi pertama (22 Feb 2009 9.00 malam). Sesi kedua dan ketiga telah diadakan pada 23 Feb 2009. Sesi ini menjelaskan dasar-dasar pelaksanaan program RIMUP.

Beberapa kelemahan telah dikesan oleh pihak Nazir dalam pelaksanaan RIMUP di sekolah-sekolah. Melalui tinjauan yang dilakukan pada tahun 2008 pihak JNJK mendapati terdapat sekolah tidak melaksanakan program RIMUP secara bersungguh. Di antara petunjuk yang digunakan melalui dokumen-dokumen rujukan, perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

Walaupun begitu, pihak penilaian mendapati pelaksanaan program berlaku, namun pihak sekolah tidak melaporkan penganjuran aktiviti atas nama RIMUP. Umpamanya kegiatan gotong royong, merentas desa, kelas motivasi dan lain-lain yang dianjurkan oleh pihak sekolah merupakan kegiatan yang melibatkan semua murid, dan tentunya unsur penerapan nilai seperti toleransi, kerjasama, bertolak ansur dan sebagainya berlaku.

Pengetua dan Guru Besar diminta supaya lebih peka kepada kehendak dasar pelaksanaan program ini supaya kegiatan-kegiatan yang dianjurkan lebih terarah dan berstruktur ke arah memenuhi matlamat yang dikehendaki. Penyediaan dokumen-dokumen perancangan, pelaksanaan dan pemantauan perlu diadakan sebagai bukti kepada penilai bahawa program dilaksanakan di peringkat sekolah.

Tuan Haji Zulkifly Mohd Wazir, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian telah menyempurnakan majlis perasmian penutup taklimat.


Sumber : Bahagian Pengurusan Sekolah Harian : KPM

No comments:

Post a Comment