Gotong-royong RIMUP 2009

Mereka bertungkus-lumus berganding tenaga untuk menyiapkan taman RIMUP...

Sunday, July 12, 2009

Laksana RIMUP di sekolah ...


Utusan Malaysia
Oleh Azian Aziz

KLANG 12 Nov. – Semua guru besar di sekolah rendah diarah melaksanakan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang diberi nafas baru berpandukan lima buku modul aktiviti yang disediakan Kementerian Pelajaran, bermula tahun depan.

Buku tersebut yang telah diedarkan kepada semua guru besar mempunyai panduan mengenai lima aktiviti berasaskan kecemerlangan akademik, kokurikulum, sukan dan permainan, meningkatkan patriotisme dan khidmat masyarakat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim berkata, semua guru besar terutama di kawasan pedalaman telah diminta memberi pandangan mengenai aktiviti-aktiviti yang disenaraikan dalam buku modul tersebut.

Katanya, ia perlu untuk mengetahui sama ada aktiviti tersebut sesuai atau tidak untuk dilaksanakan di dalam kelompok mereka. Beliau berkata, sekiranya guru besar mempunyai cadangan untuk melakukan aktiviti lain, mereka boleh mengemukakan cadangan itu kepada pejabat pendidikan daerah, negeri atau terus kepada kementerian bersama kertas kerja. ‘‘Kita mahu guru besar memberi komen dan pandangan kerana mungkin aktiviti yang disenaraikan senang pada kita tetapi susah untuk dilaksanakan. ‘‘Jadi tidak semestinya aktiviti yang disenaraikan itu diterima 100 peratus.

Komitmen.
‘‘Apa yang paling penting RIMUP dilaksanakan dengan penuh komitmen untuk mewujudkan perpaduan kaum yang mantap dan berkekalan dari peringkat sekolah rendah lagi,’’ kata beliau. Beliau berkata demikian selepas menutup Mesyuarat Pelaksanaan RIMUP Guru Besar Kelompok A, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Murid) Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Zulkifly Mohd. Wazir. Pada majlis sama, Choon Kim turut menyampaikan sijil kepada wakil 480 guru besar dari seluruh negara yang menghadiri mesyuarat tersebut.

Menurut beliau, selain lima buku modul RIMUP, satu lagi cabang RIMUP iaitu e-Integrasi juga harus dijalankan selaras dengan aktiviti-aktiviti lain. Mengenai peruntukan yang disediakan untuk melaksanakan RIMUP iaitu antara RM500 hingga RM2,000 mengikut kategori kelompok, Choon Kim berkata, walaupun tidak sebesar mana tetapi ia melambangkan sokongan kementerian kepada pelaksanaan program itu. ‘‘Kalau hendak diikutkan memang tak cukup tetapi kita berharap program ini dapat sokongan dan kita mengalu-alukan kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pertubuhan bukan kerajaan dan ibu bapa sendiri. ‘‘Di sini saya ingin memuji wakil-wakil rakyat yang memberi sumbangan dan menyokong aktiviti RIMUP ini,” kata beliau.

RIMUP yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1986 semasa menjadi Menteri Pelajaran merupakan program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat setempat dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang. Ia bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, bersemangat muhibah, memiliki jiwa dan peribadi unggul serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu demi kesejahteraan negara.

Petikan berita November 2008

No comments:

Post a Comment