Gotong-royong RIMUP 2009

Mereka bertungkus-lumus berganding tenaga untuk menyiapkan taman RIMUP...

Sunday, August 2, 2009

Patriotisme dan Perpaduan

Manusia di dunia ini semakin dekat dan rapat. Seperti kata Thomas L.Friedman dalam 'The World is Flat', dunia ini bukan bulat tetapi rata. Globalisasi menyebabkannya rata. Internet, teknologi komunikasi, yang berada di lingkaran mayapada menghampirkan manusia sesama sendiri dan akhirnya menjadikan dunia bagaikan tiada sempadan. Budaya, bahasa, bangsa, identiti dan peribadi seolah-olah tidak penting lagi. Akhirnya, semua orang menjadi celaru, keliru dan memudarkan jati diri.

Inilah pentingnya patriotisme dalam pengukuhan sesebuah negara. Pertahanan jati diri sesebuah masyarakat mampu mengekalkan keharmonian, kesatuan dan kemakmuran. Kentalnya jati diri dan saling memahami menjadi benteng yang teguh kepada manusia dalam menghadapi kemusnahan yang dibawa oleh globalisasi.

Malaysia yang dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum memerlukan semangat patriotisme untuk bergerak maju, stabil dan dihormati. Perpaduan dapat dikekalkan dengan hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain demi kesatuan rakyat.

Sempena bulan Ogos ini, diharapkan semangat patriotik yang tersemai dalam diri setiap anggota masyarakat. khususnya warga SMKTP akan memperkasakan perpaduan yang sudah sedia terjalin.